Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila seseorang
memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas cuti hujung
minggu Sabtu dan Ahad.
Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir pada Isnin,
selepas waktu bekerja.
Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang paling sibuk
dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.
Mungkin juga kerana ada di antara mereka sebenarnya masih berada di dalam
mood cuti.
Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang dengan penuh
semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula selepas tamatnya
waktu bekerja.
Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti tersebut tidak dapat
dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang begitu tertekan sehingga
mengganggu keintiman suami isteri.
Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja sengaja mengambil
sijil cuti sakit pada hari Isnin.
Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan menjadi tidak
produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.
Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk menghadapinya
adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.
Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak salah untuk mencuba
beberapa kaedah di bawah.
Persediaan boleh bermula pada
hari Jumaat lagi dengan membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang
perlu dilakukan pada Isnin. Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari
tersebut.
Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad malam. Ini kerana
mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.
Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik mandian segar
menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa kafein beberapa
jam sebelum waktu tidur.
Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga larut malam.
Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau membuat senaman
ringkas.
Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan merembes hormon
gembira yang dipanggil endorphine.
Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke tempat kerja.
Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi di kopitiam
berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.
Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda berkesempatan
untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan secukupnya.
Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda semakin kehilangan
fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil untuk melegakan
tekanan.
Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi, terutamanya jika anda
bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan cahaya matahari.
Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah cara untuk
menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak menggemarinya.
Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh membelikan kuih muih atau
coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya baik untuk meredakan
ketegangan.
Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut dengan aktiviti
yang menggembirakan.
Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di kompleks
beli-belah atau bersantai di pejabat.
Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya. Anda boleh makan
malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.
Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari isnin yang sibuk
dan huru-hara.
Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah persekitaran jabatan anda
sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan sesi bekerja pada Isnin
dengan bacaan doa.
Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning prayer pada
hari tersebut.
Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan tekanan kerja
dengan baik.
Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya dengan baik atau
tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut berlarutan hingga ke
hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.
Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan doktor.
artikel dari utusan
No comments:
Post a Comment