Thursday 5 July 2012

NISFU SYAABAN


Assalamualaikum,

Alhamdulillah, jika tidak ada aral melintang, dapatlah saya sempurnakan puasa sunat hari ini dengan penuh rasa syukur dan insaf.Saya mohon agar Allah s.w.t memudahkan segala urusan saya untuk hari ini dan seterusnya."Ya Allah, panjangkanlah umurku dalam keadaan sihat untuk mentaati Mu.Ya Allah, tetapkanlah imanku sehingga keakhir hayat dan jauhkanlah aku dari bala bencana.Ya Allah, luaskanlah rezeki yang halal dan diberkati untukku."Segala amalan kita telah diangkat dan ditukar dengan buku baru pada 15 Syaaban. 
Doa ku 01
gambar hiasan...
Nisfu Syaaban bermaksud pertengahan Syaaban iaitu 15 Syaaban yang mana buku amalan kita untuk satu tahun diangkat ke langit pada 14 Syaaban(sebelum mahgrib 15 Syaaban) dan digantikan dengan buku amalan yang baru(waktu maghrib 15 Syaaban) untuk sepanjang tahun yang berikutnya.
Berdasarkan hasil pembacaan, berbeza dengan solat sunat terawih di bulan Ramadhan, tiada amalan ibadah yang dikhususkan hanya pada 15 Syaaban seperti qiamulail, puasa dan sebagainya. Tetapi semua amalan itu boleh dilakukan pada setiap masa termasuk semasa nisfu Syaaban. Berdasarkan beberapa hadith;
Dari Usamah b. Zaid ra. berkata, “Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”-Riwayat An-Nasaie-
Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) “Kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13,14 dan 15 haribulan), 2 rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur”. –Riwayat Al-Bukhari-
Dari Abu Hurairah ra. sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunan-Ku, untuk Aku mengampuninya?”-Riwayat Al-Bukhari-
puasa pada nisfu Syaaban termasuk dalam puasa sunat 13,14 dan 15 hari bulan pada setiap bulan. Ibadah qiam pula adalah ibadah yang sunat dilakukan pada setiap malam termasuk malam nisfu Syaaban di mana Allah turun ke langit dunia mencari hamba-Nya yang memohon kepada-Nya. Peringatan untuk diri sendiri juga, di manakah kita pada 1/3 malam sedangkan Allah turun ke langit dunia untuk memperkenankan doa, memberi pintaan dan keampunan? Jika kita masih lena dibuai mimpi, ayuhlah kita sama-sama berusaha untuk melawan nafsu tidur kita dan gunalah 1/3 malam dengan sebaiknya untuk mendampingi Tuhan kita.
Ayuhlah sahabat, tiada istilah terlambat dalam beribadah dan bertaubat kepada Allah kecuali apabila matahari terbit dari barat ke timur. Mulakan perubahan mengikut kemampuan, walaupun sedikit yang penting adalah berterusan. Hal ini berdasarkan hadith;
Aisyah ra. meriwayatkan dengan berkata bahawa Nabi bersabda “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga yang jemu(dulu-penat)”. Aisyah ra. menyambung “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakan secara konsisten .”-Riwayat Al-Bukhari-
“Allah tidak pernah jemu dengan kita sehingga kita yang jemu dahulu” malu rasanya dengan Allah. Berdoalah secara berterusan agar Allah perbaharui dan tingkatkan iman kita dan agar kita diberi kekuatan untuk lebih taat kepadanya, kerana itu semua datang daripada Allah. Sungguh hidayah itu milik-Nya, namun bukanlah menjadi alasan untuk kita berdiam diri dan menunggu hidayah itu datang dengan sendirinya, kita perlu berusaha untuk memperolehinya dengan sentiasa mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Siapalah kita untuk menunggu hidayah Allah tanpa berusaha memperolehinya, sedangkan Nabi saw yang dijanjikan syurga tidak pernah berhenti untuk beribadah dan mentaati Rabbnya.

Niat puasa nisfu syaaban dalam bahasa melayu:
sahaja aku puasa nisfu syaaban esok hari keatas diriku kerana Allah Taala.


Amalan Malam Nisfu Sya'ban

   Setelah selesai solat sunat Ba’diyah Maghrib atau Isyak, bacalah Surah Yasin 3 kali dengan tertib dan setiap satunya diniatkan memohon:
  • Dipanjangkan umur dalam keadaan sihat untuk mentaati Allah.
  • Ditetapkan iman sehingga ke akhir hayat dan dijauhkan dari bala bencana.
  • Diluaskan rezeki yang halal dan diberkati.

No comments:

Post a Comment